Sunday 17 July 2011

Diari Al-Fateh

Sukatan pertama yang dibina khas untuk anak-anakku di Akademi Latihan Al-Fateh, ini adalah tambahan pelajaran seusai anak-anakku mengaji KitabMu Ya Allah..Al-Quran dan Iqra, anak-anak ini akan di'cerita'kan tentang ilmu fardhu 'ain dan akan ditasmi'...semoga anak-anakku mempunyai hati yang mudah disaluti dengan ilmu...ameennn...




CIRI-CIRI DAN 10 SIFAT KAEDAH IQRA'

1. Bacaan Terus (Tanpa Analisa dan Dieja)

Pelajar tidak diperkenalkan terlebih dahulu kepada nama-nama huruf hijaiyah dan tanda-tanda bacaan. Mereka terus diperkenalkan bunyi satu-satu huruf dengan menggunakan bahan pengajaran.

2. Penggunaan Teks Tertentu
Pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu set buku yang mengandungi 6 naskhah. Pelajar menggunakan mengikut tahap-tahap masing-masing, bermula dari buku pertama. Disusun secara berjilid, dengan kulit buku berwarna-warni yang harmoni sehingga menarik minat pelajar untuk saling berlumba dalam mencapai warna-warni 6 jilid itu. Ianya juga untuk tidak menimbulkan rasa jemu.

3. Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA)
Yang belajar adalah murid, bukan guru-gurunya, jadi setelah guru menerangkan pokok pengajaran dan pelajar sudah jelas mengulangi beberapa kali (Talaqqi Musyafahah), maka pelajar disuruh membaca sendiri bahan berikutnya.

Jika bacaan murid salah atau keliru, jangan sekali-kali guru mencela apalagi mencaci dan menghina. Guru sebaliknya cuma memberi peringatan, contohnya: "Cuba ulang sekali lagi bagaimana? Kenapa dibaca panjang? Kenapa dibaca pendek?" dan sebagainya.

4. Talaqqi Musyafahah
Dalam mempelajari bacaan al-Quran pelajar mesti berhadapan secara langsung dengan gurunya. Faktor ini sangat ditekankan supaya pelajar tahu betul bagaimana makhraj dan sifat-sifat huruf yang sebenarnya.

5. Tahap Berasaskan Pencapaian Individu
Tahap pencapaian dan kelajuan pelajar dalam mengikut bahan pengajarannya yang disiapkan adalah bergantung kepada kecekapan individu murid dan peranan gurunya. Untuk penilaian dan pengesanan, rekod prestasi perlu disediakan seperti yang dicadangkan.

6. Tenaga Pembimbing/Pembantu
Seorang guru membimbing lima hingga enam orang pelajar dalam satu masa. Jika keadaan memerlukan guru boleh mengambil pelajar tertentu untuk menjadi pembantu dan penyemak bagi pelajar lain yang diperingkat bawah.

7. Praktis
Tujuan Kaedah Iqra' dibentuk adalah supaya pelajar dengan cepat dan mudah membaca al-Quran. Soal teori dan ilmiah tajwid akan diajar setelah pelajar berupaya dan bertadarrus al-Quran. Istilah tajwid tidak diajar tetapi mempraktikkan sebutannya.

8. Sistematik
Disusun secara lengkap, sempurna dan terancang dengan bentuk huruf dan reka letak yang seimbang. Bermula daripada mengenalkan huruf-huruf tunggal, huruf-huruf sambung dan berirama (mad), huruf-huruf pelbagai baris peringkat demi peringkat sehingga ke peringkat ayat yang bermakna. Kerana prosesnya yang bersifat evolusi, maka ianya terasa mudah.

9. Komunikatif
Lingkaran petunjuk dan pengenalan adalah akrab dengan pembaca sehingga dapat menyeronokkan mereka yang mempelajarinya. Disusun dalam bahasa Melayu yang mudah mengerti dan difahami, sehingga ianya lebih berkesan. Selain itu, sejak awal-awal lagi sudah diperkenalkan pelajaran secara berirama (mad = panjang dan tanpa mad = pendek) sehingga terasa seronok dalam membaca dan mendengarnya.

10. Kelenturan dan Mudah
Buku Iqra' boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, bermula daripada kalangan kanak-kanak usia pra Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, bahkan orang-orang dewasa mahupun para Ibu-Bapa yang belum mahir membaca al-Quran. Selain itu, bagi sesiapa yang mahir membaca al-Quran dapat mengajarkannya. Malah murid-murid yang baharu sahaja tamat jilid 2 atau 3 boleh mengajar yang masih diperingkat jilid 1. Ianya dapat menambahkan keseronokkan dan suasana belajar dan mengajar.

Saturday 9 July 2011

Kelas KAFA Al-Fateh

Kelas ini akan bermula pada hari Isnin 1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432 Hijrah.

Bermula jam 2.00 petang sehingga 5.00 petang.

Yuran: RM 35.00 sahaja.